Ramai yang tahu kuku perlu dipotong apabila sudah panjang dan tidak selesa. Namun masih ramai yang suka menyimpan kuku kerana beranggapan ia kelihatan lebih cantik dan bergaya dengan kuku yang panjang.
Penjagaan kuku selalunya dipandang remeh oleh masyarakat hari ini sedangkan ia salah satu perkara yang perlu diambil berat kerana kuku juga mempunyai peranan dan kepentingannya yang tersendiri kepada manusia.
Walaupun dilihat seolah-olah perkara kecil, namun ia boleh menjadi perkara besar. Sebagai contoh ketika seorang yang masih dalam ihram haji atau umrah didenda membayar dam kerana memotong kukunya. Demikian juga kuku boleh menyebabkan tidak sah wuduk atau mandi junub, jika air tidak atau terhalang sampai ke kuku.
Beberapa permasalahan yang berhubungkait dengan kuku dari segi hukum, hikmah memotong kuku, memanjangkan dan mewarnanya perlu diambil berat.
Menurut Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Abd Ghafar Don, dalam Islam kuku berperanan dalam beberapa perkara yang tidak seharusnya diabaikan oleh umat Islam, terutamanya melibatkan aspek kebersihan.
Memotong kuku hukumnya sunat sebagaimana yang disebut dalam hadis dari ‘Aisyah r.a dalam hadis riwayat Muslim,
“Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah iaitu memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja), berkata Zakaria: “berkata Mus’ab: “Aku lupa yang kesepuluh kecuali berkumur.”
Memotong kuku juga merupakan amalan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai satu cara untuk menjaga kebersihan diri. Dan setiap apa yang dilakukan oleh Baginda pastinya bermula dengan suruhan dan wahyu daripada Allah.
Setiap suruhan itu juga memiliki hikmah dan hikmah memotong kuku adalah untuk menghilangkan segala kekotoran yang melekat atau berkumpul dicelah-celah kuku. Jika terdapat kekotoran pada bahagian bawah kuku ia akan menyekat air sampai ke bahagian tersebut ketika bersuci.
Bukan itu sahaja, jika terdapat kekotoran atau najis melekat pada bawah kuku juga akan menyebabkan kesihatan kita turut terjejas.
AJAIBNYA JARI TELUNJUK.
Memotong kuku dilihat sebagai suatu yang ringkas dan mudah. Namun untuk mendapat pahala yang lebih memotong kuku juga ada cara yang betul mengikut susunannya. Sunat memotong kuku bermula daripada tangan kanan kemudian tangan kiri, memotong kuku kaki kanan kemudian kaki kiri.
Menurut Imam an-Nawawi, sunat memotong kuku tangan bermula jari tangan kanan keseluruhannya daripada jari telunjuk sehinggalah jari kelingking dan diikuti ibu jari, kemudian tangan kiri daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari.
Sementara kuku kaki pula, bermula kaki kanan daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari kemudian kaki kiri daripada ibu jari sehinggalah jari kelingking.
Kenapa pula perlu memotong kuku bermula dengan jari telunjuk tangan kanan?
Jari telunjuk tangan kanan, urat sarafnya bersambung terus kepada hati dan jantung. Dan kerana itulah apabila kita berada di tahiyat akhir dan tahiyat awal, sampai bermula bacaan dua kalimah syahadah, kita akan mengangkat jari telunjuk, dan perkataan yang kita sebut itu, akan sampai terus kepada hati dan jantung kita.
Namun tidak ada sebarang hadis yang sahih mengenai memotong kuku mengikut susunan. Apa yang ditekankan oleh Islam berkenaan cara pemotongan kuku ini adalah mengikut amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sahaja. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Iman Muslim juga ada menyebut Baginda memulai menggunakan tangan kanan,
“Apabila salah seorang di antara kamu makan, hendaklah dia makan dengan menggunakan tangan kanannya dan apabila dia minum hendaklah dia minum dengan menggunakan tangan kanannya kerana sesungguhnya syaitan itu, dia makan dengan menggunakan tangan kirinya dan minum juga dengan menggunakan tangan kirinya”
Islam mengutamakan kebersihan bagi umatnya. Maka memadai dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. berkenaan kebersihan berdasarkan hadis sahih, tidak perlu menjadikan hadis dhaif sebagai hujah untuk kita beribadah. Tetapi jangan sesekali terpedaya dengan hadis-hadis palsu yang sering kali disebut mengenainya.
Manakala peralatan yang digunakan untuk memotong kuku, dengan menggunakan benda tajam seperti gunting, pisau atau benda yang khas seperti pemotong yang tidak menyebabkan mudarat pada kuku atau jari.
Setelah selesai memotong kuku, hendaklah segera membasuh tangan terutamanya bahagian hadapan kuku dengan air bersih. Ini kerana jika seseorang itu menggaru pada anggota lain akan menyebabkan kuman dan najis yang masih melekat di bahagian tersebut akan tersebar ke bahagian lain pula dan menyebabkan penyakit.
Bagi mereka yang selalu menggunakan gigi sebagai alat pemotong kuku, Islam tidak meletakkan hukum haram terhadap perbuatan tersebut kerana ia mungkin menjadi tabiat seseorang dalam tidak disedari. Namun Islam melarang perbuatan tersebut kerana boleh menyebabkan gangguan kesihatan kepada kita.
Wallahu a’lam
Sumber Al-Islam
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.